skip to Main Content
Kisah Keluarga Yang Mengalami THALASSEMIA.

Kisah Keluarga Yang Mengalami THALASSEMIA.

Kali nie kita lain sikit dari biasa 😅 Sebab nak cerita mengenai keluarga yang mengalami Thalassemia. Ini kisah benar dan tiada rekaan semata-mata. Kisahnya bermula dari . . .

Sebelum tu, mari kita kenali Apa Itu Thalassemia. Thalassemia adalah penyakit darah yang diwarisi di mana badan membuat bentuk hemoglobin yang tidak normal. Hemoglobin adalah molekul protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan.

Penyakit ini menyebabkan pemusnahan sel darah merah yang berlebihan, yang membawa kepada anemia. Anemia adalah keadaan di mana badan anda tidak mempunyai cukup sel darah merah yang normal. Thalassemia ini diwarisi, bermakna sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa kita mesti menjadi pembawa Thalessemia ini. Penyakit ini tidak berjangkit. Begitu juga dengan kisah yang saya nak sampaikan nie.

Puan Eby, ibu kepada 3 orang anak ini adalah Thalassemia jenis pembawa. Beliau tahu sejak di peringkat kolej lagi kerana sering sakit kepala, pucat dan mudah pitam. Suaminya pula jenis Thalassemia sel darah kecil, dapat tahu masa anaknya Ukasyah berusia 4 bulan. Thalassemia ada 2 kategori, Thalassemia Beta dan Thalassemia Alpha. Thalassemia Beta dan Thalassemia Alpha masing-masing dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Thalassemia Beta (Thalassemia major, Thalassemia Intermedia), Thalassemia Alpha (Hemoglobin H, Hydrops Fetalis).

Dipendekkan cerita . . . ⛄️

Aca atau nama sebenarnya Ukasyah sudah disahkan ada Thalassemia major sejak berusia 4 bulan. Hanya keluarganya sahaja yang tahu bagaimana perasaan mereka ketika itu. Puan Eby dan suaminya ada baca beberapa artikel untuk sembuhkan penyakit Thalassemia major iaitu dengan cara pemindahan sumsum tulang dari darah tali pusat atau sumsum tulang penderma.

Jadi, Puan Eby nekad nak mengandung lagi kerana inginkan darah dari tali pusat. Hari-hari Puan Eby berdoa supaya dapat hamil lagi. Setelah Aca berusia 7 bulan, Puan Eby disahkan hamil. Alhamdulillah . . . Tetapi satu menjadi masalah mereka ketika itu adalah ada ke hospital simpan darah tali pusat ? Cari punya cari, syukur ada hospital yang menyediakan khidmat simpan darah tali pusat iaitu HUKM.

Pada kandungan usia 6 bulan, Puan Eby mengalami sesak nafas dan darahnya turun pada angka 10. Beliau pergi ke hospital Kajang dan ditahan di ward kerana mereka suami isteri serta anak ada masalah Thalassemia. Pada keesokkan paginya, doktor pakar (Dr Chong) datang merawat sambil menanyakan tentang darah tali pusat. Puan Eby ingin menyimpan tali pusat tetapi tidak tahu dimana.

Oleh itu, Dr Chong menerangkan mengenai darah tali pusat dan meminta untuk memeriksa air ketumban diawal kehamilan sama ada bayi dalam kandungan ada masalah thalassemia ataupun tidak. Memandangkan perut Puan Eby membesar kemungkinan risiko untuk bersalin itu berjaya atau jangkitan kuman atau gugur. Tetapi Puan Eby tidak mahu melakukannya kerana yakin kandungannya sihat. Puan Eby mahu menyimpan darah tali pusat sahaja. Jadi, Dr Chong memberi surat untuk dihantar ke HKL. Bermulalah hari-harinya untuk memeriksa kandungan di HKL.

11.7.2014 Puan Eby selamat bersalin dan simpan darah tali pusat. Nak dijadikan cerita, lama juga mereka mencari darah tali pusat anak kedua mereka. Call pusat darah, tak jumpa juga. Makin tertekan dan menangislah Puan Eby ketika itu. Si suami memberi kata semangat dan meminta beliau bersabar. Setelah setahun lebih berlalu, barulah jumpa darah tali pusat dari anak kedua Puan Eby dengan bantuan Dr Aliza, Dr kanak-kanak di hospital Putrajaya.

HLA (Human Leukocyte Antigen) Aca sama dengan adiknya termasuk golongan darah cuma Uwais Thalassemia pembawa, tiada penghalang untuk proses pemindahan. Maksud HLA adalah sel darah putih. Ia berfungsi untuk membantu tubuh melawan berbagai penyakit infeksi sebahagian dari sistem kekebalan tubuh. Kemudian, Dr Aliza membantu Puan Eby mencari tarikh untuk jumpa Bahagian Sumsum Tulang (BMT).

Nak diringkaskan cerita . . . 🙈

Pada 14.9.2016 Aca masuk BMT untuk rawatan sumsum tulang. Ketika itu, Puan Eby sangat tabah untuk melalui saat dan detik proses rawatan pemindahan sumsum tulang. 16.10.2016, 23 hari sumsum tulang berjaya dipindahkan. Kenapa lama ? Sebab Aca perlu melalui proses kemoterapi. Alhamdulillah, kini (4.9.2019) 2 tahun lebih selepas pemindahan sumsum tulang. Aca tidak masuk darah lagi. Sumsum tulang adiknya pula tumbuh sihat didalam badan Aca.

“Syukur Ya Allah, Engkau permudahkan segalanya. Terima kasih tak terhingga kepada yang membantu dan mendoakan kami. Semoga kebaikan yang anda lakukan untuk kami, berbalik kepada kamu semua.” Amiinnn.

Gejala / Simptom Thalassemia nie berbeza-beza setiap individu. Termasuk kecacatan tulang terutamanya pada muka, air kencing gelap, melambatkan pertumbuhan dan pembangunan, wajah pucat dan lesu, perut membesar kerana pembengkakan pada organ tubuh (hati dan limpa) dan banyak lagi.

Jika anda ada gejala ini, segeralah anda berjumpa dengan pakar untuk rawatan lanjut 💖

Back To Top